Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah berkata, walaupun MRSM menawarkan pendidikan berkualiti, tetapi ramai pelajar bukan bumiputera tidak sedar bahawa kuota sebanyak 10 peratus telah diperuntukkan kepada kaum bukan bumiputera sejak 2002.
Sivarasa Rasiah

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau ada mengesyorkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dibuka kepada semua kaum.

Memetik laporan Berita Harian Online, beliau berkata tidak sama sekali pernah membincangkan syor berlainan sebagaimana yang tular hari ini.

Malah katanya, perbincangan tersebut tidak langsung menyentuh mengenai perkara itu.

“Ini tidak betul dan fitnah. Harap tidak diulang. Cadangan kepada tukar nama (MRSM) tidak pernah dibuat.

“Cadangan (kemasukan terbuka) pun tidak betul. Tidak pernah dibuat,” katanya.

Dalam satu blog di www.abuleman.blogspot.com mendakwa Ahli Parlimen Sungai Buloh itu ada menyatakan hasratnya mahu membuka Majlis Amanah Mara (MARA) kepada semua kaum di Malaysia selepas melawat Ibu Pejabat MARA, baru-baru ini.

Ia didakwa dilakukan Sivarasa dalam satu pertemuan bersama dengan pegawai kanan MARA.

Dalam laporan itu menyatakan Sivarasa mahu menukar nama sekolah berasrama penuh Maktab Rendah Sains Mara kepada Maktab Rendah Sains Malaysia.

Beliau turut menafikan dakwaan cuba menukar nama MRSM kepada Maktab Rendah Sains Malaysia.

“Apa yang dibincang ialah dasar Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang sedia ada untuk memperuntukkan 10 peratus tempat di MSRM untuk penuntut bukan Bumiputera.

“MARA ada beritahu (maklum) sebahagian besar kuota masih tidak diisikan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette