Ahmad Maslan
Ahmad Maslan

SHAH ALAM – Tiada salahnya rakyat memilih Datuk Lokman Noor Adam sebagai wakil rakyat kerana Menteri Besar Selangor Amirudin Shari juga ‘orang luar’, kata Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, penerimaan itu penting bagi memastikan ketidakpuasan hati rakyat dapat disalurkan kepada kerajaan negeri dan pusat.

“Menteri Besar Selangor ini adalah orang kawasan saya di Benut, Pontian lebih kurang 10 hingga 15 minit dari rumah saya.

“Kalau rakyat boleh terima orang Benut Pontian jadi menteri besar, apa salahnya orang Sungai Kandis juga menerima Datuk Lokman sebagai ADUN mereka,” katanya ketika ditemui di pekarangan Dewan Bunga Tanjung, di sini, hari ini.

Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini melibatkan pertandingan tiga penjuru di antara calon PH daripada PKR, BN dan Bebas.

Calon PH daripada PKR diwakili oleh Mohd Zawawi Ahmad Mughni, BN meletakkan Lokman manakala Murthy Krishnasamy pula sebagai calon Bebas.

Ahmad selaku ahli Majlis Tertinggi UMNO juga berkata, meskipun wakil BN itu menang pada pilihan raya kali ini, ia tidak boleh mengubah status kerajaan negeri.

“Selangor masih di bawah PH walaupun Datuk Lokman menang pun,” katanya.

Katanya lagi, Lokman satu-satunya calon BN terbaik yang mampu menjadikan pembangkang yang kuat di Selangor.

“Rakyat boleh menjadikan Datuk Lokman sebagai suara mereka, ketidakpuasan hati terhadap apa yang dibuat oleh kerajaan negeri dan pusat.

“Datuk Lokman mempunyai kewibawaan untuk melakukan perkara itu kerana beliau adalah tokoh ahli Majlis Tertinggi UMNO dan NGO Pemantau Kerajaan Baru.

“Ia beri satu kelebihan dan beliau dikenali oleh ramai rakyat Malaysia, beruntung orang Sungai Kandis jika memilih beliau,” katanya. – MalaysiaGazette