Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail bercakap semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Padang Perbandaran Ampang Jaya, Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM, 21 JULAI 2018
Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail bercakap semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Padang Perbandaran Ampang Jaya, Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM, 21 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara bagi mengambil langkah-langkah tertentu dalam mengatasi isu kelalaian melibatkan pengasuh kanak-kanak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, banyak perkara melibatkan kelompongan undang-undang berhubung perkara itu perlu digubal dan diperketatkan.

“Saya dah minta kementerian saya untuk mendapatkan butir-butir lanjut bukan saja satu kes tapi bagaimana kita nak halang kes-kes ini daripada berlaku lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Pandan Indah di sini hari ini.

Wan Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga berkata, beliau berasa sungguh sedih apabila banyak kejadian melibatkan kanak-kanak yang berakhir dengan kematian berlaku sejak akhir-akhir ini.

Pagi tadi seorang bayi berusia 10 bulan yang parah di kepala dipercayai terjatuh di rumah pengasuh, meninggal dunia selepas empat hari dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Bayi malang itu dijaga seorang pengasuh wanita berusia 35 tahun di Tangkak dimasukkan ke hospital selepas dipercayai diserang sawan.

Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam lama dan baharu pada dahi kiri bayi selain pendarahan pada bahagian mata serta keretakan tempurung kepala.

Susulan daripada itu, Khamis lalu polis menahan pengasuh terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan. – MalaysiaGazette