gambar hiasan
Gambar hiasan

KABUL- Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani mungkin menawarkan gencatan senjata kepada Taliban ketika cuti Aidiladha bulan depan.

Seorang jurucakap berkata semalam, pengumuman itu dibuat apabila spekulasi meningkat perbincangan damai mungkin dengan Taliban, susulan tawaran Ghani Januari lalu berkaitan rundingan tanpa prasyarat dan gencatan senjata tiga hari ketika Aidilfitri bulan lalu.

Gencatan senjata itu, menyaksikan pejuang Taliban tidak bersenjata di jalanan ibu kota ini dan penduduk lain mengambil swafoto bersama tentera dan polis, meningkatkan matlamat perdamaian jangka panjang, 17 tahun selepas kempen diketuai Amerika Syarikat (AS) menyingkirkan Taliban.

Jurucakap Ghani, Haroon Chakansuri mengesahkan laporan dalam akhbar The Wall Street Journal minggu ini, kerajaan menimbang gencatan senjata ketika Aidiladha yang jatuh pada 22 Ogos.

“Ada kemungkinan gencatan senjata diumum ketika sambutan Aidiladha,” katanya dalam sidang media di sini menambah butiran lanjut akan diumumkan kemudian. – MalaysiaGazette