Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) menyampaikan Anugerah Pelatih Terampil Cemerlang kepada Muhammad Hafizuddin Ramli (kanan) sambil diiringi Presiden Majlis Belia Malaysia, Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaluddin (kiri) pada Majlis Konvokesyen Belia Mahir Kali Ke-5 Majlis Belia Malaysia (MBM) di Pusat Perniagaan Bangi Avenue, Bangi, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 22 JULAI 2018

BANGI – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan bertindak memanggil jurulatih skuad bola sepak bawah 23 (B-23) Malaysia, Datuk Ong Kim Swee bagi mengadakan perbincangan dua hala berhubung tindakan drastik beliau menarik diri daripada menyertai Sukan Asia 2018.

Menurut menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, adalah penting untuk KBS mengadakan perbincangan dengan Kim Swee bagi memastikan langkah itu tidak merugikan sesiapa khususnya skuad bola sepak bawah 23 (B-23) negara.

“Lebih baik kita jumpa dulu, adakan perbincangan. Kalau ambil tindakan drastik tanpa kita berdialog dan tiada interaksi akan jauh lebih teruk. Lebih baik kita jumpa dulu,” katanya kepada media dalam satu acara di Bangi Avenue hari ini.

Semalam, Kim Swee berkata, beliau menghadapi kesukaran mengumpulkan pemain bagi menghadapi temasya sukan di Jakarta-Palembang itu tidak lama lagi.

Jelasnya, beliau tidak punya pilihan lain sekiranya beberapa pasukan tetap berkeras enggan melepaskan pemain mereka memandangkan Sukan Asia yang diadakan pada 18 Ogos hingga 2 September depan bertembung dengan Piala Malaysia.

Menjawab mengenai itu, Syed Saddiq berkata, perlu bagi kementerian dan Kim Swee mengadakan pertemuan berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian.

Bagaimanapun Syed Saddiq tidak memberitahu bila pertemuan dengan Kim Swee akan diadakan.

“Sekarang kita dalam proses untuk jumpa semua exco sukan negeri dan kita akan panggil Ong Kim Swee, duduk berbincang dan cari jalan penyelesaian bersama,” katanya lagi. -MalaysiaGazette