Dr. Maszlee Malik

KLUANG – Masalah kekurangan guru kini semakin meruncing di bandar-bandar utama negara terutama di Johor dan Selangor berikutan ramai daripada mereka yang dalam perkhidmatan, memilih untuk kembali ke negeri asal untuk bertugas.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata kecenderungan mereka untuk bertugas di kampung halaman disebabkan kos sara hidup yang tinggi di bandar-bandar besar.

Beliau, yang juga Anggota Parlimen Simpang Renggam berkata demikian ketika ditanya sama ada Johor dan negeri lain mengalami masalah kekurangan guru ketika ini selepas Majlis Perasmian dan Penyampaian Sijil Siap Kerja bagi Pembinaan Sekolah Daif Fasa 1 Tahun 2018 Negeri Johor di Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam di sini, hari ini.

“Masalah itu berlaku di bandar-bandar seperti Johor Bahru, Pasir Gudang dan Shah Alam dan kementerian sedang meneliti bagaimanakah penyelesaian terbaik agar guru ini tidak meninggalkan tempat.Mungkin ada beberapa inisiatif akan diusahakan termasuk menaikkan elaun kos sara hidup atau meramaikan lagi anak tempatan menjadi guru tetapi semuanya dalam peringkat kajian,” kata beliau.

Pada masa sama, Maszlee merayu agar guru tidak meninggalkan tempat mengajar mereka.

Mengenai sekolah daif, Maszlee berkata pihaknya akan menggandakan usaha untuk memastikan sekolah-sekolah yang diberikan projek untuk dibina baharu dan dinaik taraf agar segera disiapkan.

Berdasarkan statistik kementerian pada 2017, terdapat 120 sekolah daif dikenal pasti di seluruh negara dengan 60 daripadanya di Semenanjung Malaysia dan masing-masing 30 buah di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun dengan peruntukan disediakan kerajaan pada 2018, lebih daripada 20 buah sekolah itu siap dibina baharu atau dibaik pulih melalui fasa pertama projek.- Bernama