Sebanyak 520,000 helai jersi Christiano Ronaldo terjual dalam masa 24 jam selepas perpindahan legenda Portugal itu dari Real Madrid.
Cristiano Ronaldo

TURIN, ITALI – Kelab bola sepak terbesar Itali, Juventus mula mendapat untung besar selepas berjaya menjual lebih 520,000 helai jersi Cristiano Ronaldo dalam masa 24 jam selepas perpindahan legenda Portugal itu dari Real Madrid.

Kejayaan Ronaldo itu telah mengalahkan rekod yang dipegang pemain Brazil Neymar sewaktu perpindahannya ke kelab Paris Saint-Germain pada nilai 263 juta apabila kelab Perancis itu hanya menjual 10,000 jersi dalam masa 24 jam.

BeIN Sports melaporkan, sepanjang musim 2017/2018 sebelum kehadiran Ronaldo, kelab gergasi Itali itu hanya menjual 850,000 helai jersi kelab.

Difahamkan, sehelai jersi Ronaldo boleh mencecah harga USD 120 (RM487), dan Juventus telah mencatat hasil jualan sebanyak USD 62.4 juta (RM253.5 juta) iaitu hampir setengah nilai yang dibayar untuk perpindahan pemain itu.

Ronaldo meninggalkan Real Madrid dengan jumlah perpindahan sebanyak USD 129.3 juta.

Kelab gergasi Itali itu bukan sahaja mencatat keuntungan menerusi jualan jersi kerana ia hanya menerima 10 sehingga 15 peratus keuntungan jualan iaitu sebanyak USD 6 hingga 9 juta.

Walaubagaimanapun, perpindahan Ronaldo telah memberi keuntungan kepada Juventus apabila sahamnya mencanak sehingga 40 peratus apabila berita perpindahan diumumkan.

Malah, akaun media sosial kelab itu turut menerima lebih 1.5 juta pengikut baru dalam waktu sehari. – MalaysiaGazette