Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

SHAH ALAM – Pas mengambil keputusan tidak meletakkan calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis 4 Ogos ini kerana hendak mengkaji terlebih dahulu hasil dapatan Jawatankuasa Post-Morten PRU 14 Pas Pusat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, hasil kajian itu kini dalam peringkat disiapkan berikutan tahap keputusan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, khususnya di Selangor.

“Hasil dapatan itu juga turut terpakai dalam keputusan kita pada PRK DUN Balakong akan datang,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau menjawab tanda tanya orang ramai terutama dalam kalangan ahli Pas, kenapa parti itu tidak meletakkan calon dan memberikan laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dengan calon PKR.

Menurut Takyuddin, sungguh pun Pas tidak menurunkan jenteranya dalam PRK Sungai Kandis, namun seluruh jenteranya akan terus bergerak sebagaimana biasa dalam mengukuhkan parti pasca PRU14 bagi membuat persiapan menghadapi PRU15.

Beliau kemudian meminta ahli Pas Sungai Kandis membuat pilihan berpandukan pertimbangan yang wajar demi kepentingan Islam dan Melayu serta masa depan negara dengan mengambil kira sikap Pas terhadap kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) adalah kekal sebagaimana sebelum PRU14.

“Kita juga berpandangan, suatu amalan demokrasi yang baik memerlukan proses semak dan imbang dalam pentadbiran sesebuah kerajaan, termasuk kerajaan Selangor.

“Dengan kata lain, peranan pembangkang adalah amat penting,” katanya. – MalaysiaGazette