Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

SHAH ALAM – Pas tidak meletakkan calonnya bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis 4 Ogos ini kerana dari awal lagi kepimpinan parti telah membuat keputusan agar berlaku pertandingan satu lawan satu.

Ini kerana, jika berlaku pertandingan dua penjuru, sama ada calon Barisan Nasional (BN) melawan PH atau Pas yang meletakkan calonnya bertanding, usaha untuk mengalahkan PH agak besar dan undi pembangkang tidak berpecah.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hasan berkata, PH mesti dikalahkan dalam PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

“Ia menjadi satu isyarat kepada kerajaan PH bahawa rakyat tidak mahu terus dipermainkan dengan kegagalan kerajaan baharu itu menunaikan janji pilihan raya seperti hapuskan tol, turunkan harga minyak, hapuskan hutang peneroka Felda dan banyak lagi.

“Kerajaan PH dilihat sangat tidak seimbang, rasis dan terlalu membuka jalan kepada persendaan Islam. Suara yang mengundang keresahan umat Islam makin marak bebas dan tidak diambil tindakan yang wajar oleh pihak kerajaan PH,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Nasrudin, seperti gesaan supaya maahad tahfiz ditutup, terlalu memberi muka kepada LGBT, pemikiran anti hadis, posisi penting dalam sektor kehakiman dan undang-undang tidak diberikan kepada orang Islam, pemikiran liberal, terdapat individu yang didakwa menyokong gerakan pengganas jadi pemimpin kerajaan, dominasi DAP yang sangat skeptikal terhadap perjuangan Islam dalam PH dan sebagainya.

Justeru, katanya, beraksi di pentas demokrasi dan menghormati hak memilih, pengundi diseru supaya menolak PH dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis.

“Anda mempunyai 1001 sebab untuk menewaskan PH dalam PRK Sungai Kandis ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette