Calon Barisan Nasional untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam bercakap kepada media ketika hadir kenduri tahlil doa selamat sempena Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Kandis di Taman Sri Andalas Klang, Klang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 22 JULAI 2018

KLANG – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk mengerakkan jentera parti berkempen pada Pilihan Raya Kecil PRK Sungai Kandis.

Hal ini diakui calon BN, Datuk Lokman Noor Adam kerana masih banyak bendera dan poster beliau belum dipasang di mana-mana lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

“Kita menghadapi sedikit kekangan wang sebab pihak kerajaan baharu (Pakatan Harapan) membekukan akaun parti.

“Apa pun, setakat ini saya bersyukur dan berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin parti yang bermurah hati menyumbangkan sumber kewangan untuk melancarkan kempen ini,” katanya kepada media selepas program walkabout di Taman Sri Andalas di sini hari ini.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu, beliau menerima banyak mesej daripada rakan taulan yang bersedia membantunya termasuk kesanggupan anak muda tempatan dalam DUN itu untuk memasang poster calon dan BN secara sukarela.

Beliau terharu kerana sepanjang satu hari mengikuti program walkabout dari rumah ke rumah, ke kedai makan, masjid dan pasar pagi, ramai menyatakan sokongan kepadanya.

Mengikut jadual yang telah diatur, selepas solar Asar di sekitar Jalan Kebun, beliau menghadiri program ceramah di Pusat Dalam Mengundi (PDM) Kampung Jawa dan PDM Andalas malam ini.

Beliau turut membayangkan akan membuka tabung untuk mendapatkan sumbangan daripada orang ramai tetapi perlu berbincang dan mendapatkan persetujuan pucuk pimpinan terlebih dahulu.

“Cadangan memang ada, tetapi perlukan persetujuan daripada parti,” katanya. – MalaysiaGazette