Noh Omar

SHAH ALAM – Pengundi DUN Sungai Kandis perlu memberi undi kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam jika mahukan perubahan.

Harapan itu disampaikan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dalam satu kenyataan kepada media, dengan mengharapkan BN dapat menewaskan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada pilihan raya kecil DUN itu 4 Ogos ini.

Kata Noh, kemenangan harus diberikan kepada BN kerana itu sahaja mesej yang rakyat perlu sampaikan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar mereka menunaikan janji 100 hari dan janji yang terkandung dalam manifestonya.

“Kalau rakyat betul-betul mahukan perubahan, (kena) undi BN untuk pastikan kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji. Sekurang-kurangnya kita boleh bagi signal (isyarat) kepada kerajaan bahawa jangan main-main dengan kepercayaan rakyat,” katanya di sini, hari ini.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang memberitahu, beliau meletakkan keputusan menang kalah 50-50 berdasarkan dua situasi.

Katanya, situasi pertama, BN tewas tiga kali Pilihan Raya Umum (PRU) dari tahun 2008 sehingga kini dan keduanya, kali ini rakyat kecewa dengan janji yang tidak ditunai oleh PH selepas dua bulan menawan pusat pentadbiran Putrajaya.

“Kalau lihat keputusan yang lepas, kalah itu pasti, namun menang belum tentu. Sebab itu saya mohon rakyat Sungai Kandis undi BN untuk pastikan kerajaan PH tunai janji-janji manis mereka.

“Rakyat Sungai Kandis perlu beri signal jelas kepada kerajaan PH bahawa kuasa dan kepercayaan rakyat jangan sesekali dipermainkan. Undi BN untuk pastikan kerajaan PH tunai janji,” katanya. – MalaysiaGazette