Dr. Wan Azizah Wan Ismail

BANGI – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memutuskan DAP akan meletakan calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong tidak lama lagi.

Perkara itu dimaklumkan Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ditanya mengenai parti mana yang akan bertanding pada PRK Balakong, Wan Azizah  berkata;”DAP” (akan bertanding).

Beliau berkata demikian sebanyak dua kali bagi mengesahkan pertanyaan media di sini  hari ini.

Bagaimanapun tarikh PRK kawasan itu masih belum diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PRK Balakong bakal diadakan ekoran kematian Ng Tien Chee pada Khamis lalu.

Dalam nahas kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi, kenderaan jenis Nissan X-Trail dipandu mendiang dipercayai terlanggar belakang sebuah lori milik syarikat konsesi Lebuh Raya Grand Saga yang sedang menjalankan kerja penyelenggaraan dan pembersihan di lebuh raya berkenaan.

Tien Chee atau dikenali sebagai Eddie Ng, 40, maut di tempat kejadian dan dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri satu majlis makan malam.

Mengikut laporan media, Barisan Nasional (BN) akan meletakan calon MCA bagi merebut kerusi itu.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam pada itu berkata, parti tersebut mungkin menggunakan logo MCA berbanding logo Barisan Nasional (BN) untuk PRK itu.

PRK Balakong dipercayai akan menyaksikan perlawanan satu lawan satu antara MCA dan DAP apabila Pas dijadualkan tidak meletakan calon di kawasan kubu kuat DAP itu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Eddie Ng mengekalkan kerusi DUN Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon BN dan PAS dengan majoriti 35,538 undi. -MalaysiaGazette