KWSP
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk menggunakan hak undinya bagi menentukan pembayaran gaji dan ganjaran pengarah syarikat-syarikat yang dilaburnya.

Entiti itu kini menguruskan aset berjumlah RM814.4 bilion (AS$201 bilion) bersedia untuk menyuarakan haknya berhubung gaji dan pelantikan eksekutif melalui undian pada mesyuarat pemegang kepentingan, jika perbincangan dengan lembaga pengarah dan pengurusan tidak berjaya, menurut sumber yang dipetik sebagai berkata oleh Bloomberg.

Ia susulan bantahan terhadap ganjaran yang diterima oleh Presiden Sapura Energy Berhad, Datuk Seri Shahril Samsuddin oleh para pemegang kepentingan syarikat itu baru-baru ini.

“Ia merupakan tadbir urus yang baik,” kata Danny Wong Teck Meng, Ketua Pegawai Eksekutif Areca Capital Sdn. Bhd.

Dengan undi tersebut, KWSP membuat tindakan betul dan mengingatkan kepada lembaga pengarah dan pengurusan syarikat tersenarai awam bahawa mereka mempunyai tanggungjawab fidusiari untuk menguruskan syarikat dengan betul.

KWSP mengundi untuk tidak menyingkirkan Shahril pada mesyuarat agung tahunan pada 18 Julai lalu.

Shahril menerima bayaran sebanyak RM71.92 juta, termasuk bonus sebanyak RM55 juta bagi tahun fiskal yang berakhir pada 31 Januari 2018 ketika syarikat itu mengalami kerugian sebanyak RM2.5 bilion.

Dalam emel kepada Bloomberg, EPF berkata, ia komited dengan agendanya untuk mempromosikan amalan tadbir urus dalam korporat Malaysia dan menjangkakan perkara sama dibuat oleh syarikat-syarikat pelaburnya.

Dana pencen itu merupakan pelabur terbesar dalam saham-saham tempatan dan menguasai lebih daripada 5 peratus kepentingan dalam syarikat senaraian awam termasuk Sapura, Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Malayan Banking Berhad, Media Prima Berhad, Gamuda Berhad.

Pelaburan ekuitinya mewakili 41.6 peratus daripada jumlah asetnya, berdasarkan kenyataan KWSP pada Jun lalu. – MalaysiaGazette