Mesut Ozil

LONDON – Mesut Ozil membuat kejutan apabila mengambil keputusan bersara daripada aksi antarabangsa bersama pasukan bola sepak Jerman.

Pemain berusia 29 tahun itu memuat naik tiga helai suratnya secara terbuka semalam.

Dia mendakwa alasan persaraannya itu kerana dijadikan propaganda politik dan tidak lagi berasa bangga menyarung jersi Jerman.

Ozil dikritik teruk selepas Jerman tersingkir awal dalam pusingan pertama Piala Dunia yang menyaksikan persembahan terburuk negara itu sepanjang 80 tahun.

Perancang Arsenal itu sebelum turut dikecam gara-gara bergambar bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang kontroversi.

Ozil berkata, menjadi sasaran utama dalam isu rasis dan tiada lagi perasaan hormat kepadanya

Pemain yang memiliki darah campuran Jerman-Turki itu mendedahkan, dia dan keluarga turut menerima email kebencian, panggilan ugutan dan penderaan media sosial.

“Layanan yang diberikan oleh DFB (Persatuan Bola Sepak Jerman) dan banyak pihak membuatkan saya tidak lagi mahu menyarung jersi negara.

“Saya rasa tidak diperlukan dan fikir apa yang saya capai sejak penampilan bersama skuad negara pada tahun 2009 telah dilupakan,” tulisnya. – MalaysiaGazette