gambar
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Komuniti lesbian, gay, homoseksual dan transgender (LBT) tidak dibenarkan mengamalkan kehidupan songsang mereka di negara ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa, ia termaktub dalam undang-undang sudah termaktub melalui Seksyen 377A Kanun Keseksaan serta Enakmen Jenayah Syariah Seksen 25,26 dan 28, Akta Kesalahan Jenayah Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, katanya, hak asasi manusia serta kewarganegaraan mereka akan sentiasa terjaga dan tidak akan sesekali ditindas.

“Di atas asas Perlembagaan Persekutuan, sebagai warganegara serta hak asasi manusia  akan sentiasa dipelihara tanpa kompromi berdasarkan acuan Malaysia yang meletakkan Islam agama Persekutuan, dalam kata lain, golongan ini tidak boleh ditindas, dianiaya dan dizalimi.

Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.
Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.

“Kita mempunyai statistik 80 peratus golongan mak nyah terlibat dalam industri seks. Bayangkan, seandainya kita mendiskriminasi golongan ini di tempat kerja, mereka akan terus berada dalam industri tersebut sedangkan hasrat kerajaan untuk mengeluarkan mereka daripada terus bergelumang daripada aktiviti seumpama itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN) yang mahu tahu tentang tindakan tegas kerajaan terhadap golongan LGBT dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mujahid Rawa turut mengingatkan semua pihak terutama pembangkang supaya menuduh kerajaan PH sebenarnya ‘mesra’ terhadap golongan berkenaan.

“Apa saya ingin jelaskan berdasarkan undang-undang, ia bermaksud saya perlu ulang supaya semua dengar baik-baik dan balik nanti jangan putar cakap saya.

“Hak komuniti LGBT untuk mengamalkan gaya hidup mereka masih tertakluk dengan undang-undang yang tidak membenarkan di Malaysia. Jangan dekat mimbar khutbah kata kerajaan PH ini mesra LGBT,” tegasnya.

Dalam pada itu, jelas Mujahid yang dipertanggungjawab dengan portfolio hal ehwal agama berkata, pendidikan seks perlu bermula dari awal lagi dan bukan hanya termaktub dalam isu LGBT sahaja.

“Pendidikan seks tidak seharusnya dilihat seperti taboo sebaliknya ianya perlu diberikan kepentingan, bukan sahaja isu LGBT. Pihak kerajaan kini sedang mengambil langkah yang sepatutnya untuk mendidik umum bukan sahaja tentang komuniti LGBT tetapi pendidikan seks juga,” ujarnya.  – Malaysia Gazette