Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Malam Kempen Derma Tabung Harapan Persatuan Cina Klang di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (ODCC), Seksyen 15, Shah Alam. Foto Affan Fauzi, 22 Julai 2018
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Malam Kempen Derma Tabung Harapan Persatuan Cina Klang di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (ODCC), Seksyen 15, Shah Alam. Foto Affan Fauzi, 22 Julai 2018

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan kerajaan Pakatan Harapan akan terus berpegang kepada kedaulatan undang-undang. 

Menurutnya, pemerintahan terdahulu di bawah Datuk Seri Najib Razak banyak melakukan penyalahgunaan dan menindas rakyat menerusi mewujudkan undang-undang mengikut kepentingan. 

“Kerajaan Pakatan Harapan akan pegang the rule of law (kedaulatan undang-undang) kita mempunyai undang-undang dalam negara dan akan dikuatkuasakan supaya rakyat tidak tertindas dengan kerajaan yang tidak mempedulikan undang-undang negara.

“Kita akan kembalikan the rule of law (kedaulatan undang-undang, tetapi kita dapati banyak undang-undang menekan rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis Makan Malam Kempen Derma Tabung Harapan di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam ( IDCC)  anjuran 18 Persatuan-Persatuan Klang malam tadi.

Beliau sekali lagi dalam pada itu menyebut tentang keperluan untuk menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). 

 Tun M mahu terus melindungi hak rakyat masih lagi terbela walaupun bersalah dan dihukum mengikut keputusan mahkamah. 

“Rakyat akan dilindungi dengan undang-undang yang adil supaya apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh mereka jika ada akan ditentukan oleh mahkamah mahkamah akan menentukan salah atau tidak seseorang,” tambah beliau. 

Beliau selain itu sekali lagi menekankan pendirian bahawa kerosakan yang berpunca oleh Najib semasa Barisan Nasional (BN) memerintah. 

Antara kata Tun M lagi adalah kerosakan kerajaan yang memberikan kesan negatif sehingga memerlukan untuk kerajaan pada hari ini untuk membuat pembaharuan.

“Kerosakan yang dibuat (Najib Razak) kepada negara ini lebih teruk daripada apa yang kami jangka.

“Bukan saja wang yang dihilangkan berbillion-billion ringgit, tetapi jentera kerajaan sudah disabotaj, sudah ditukar supaya tidak lagi berjalan dengan baik dan terpaksalah kita ambil tindakan untuk membuang beberapa pegawai yang terlibat dalam mempertahankan kerajaan terdahulu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, makan malam oleh 18 Persatuan-Persatuan Klang malam ini berjaya mengumpul RM3471,100 untuk Tabung Harapan Malaysia yang bakal digunakan untuk membayar hutang negara- MalaysiaGazette