Datuk Seri Jamal Md Yunos. foto AFFAN FAUZI, 01 OGOS 2018
Datuk Seri Jamal Md Yunos. foto AFFAN FAUZI, 01 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Jamal Yunos meminta masyarakat menunggu video oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi yang mendedahkan kisah sebenar penahanannya di Indonesia sebelum ini.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu berkata, dalam video tersebut, Jokowi sebenarnya dimaklumkan beliau perlu ditahan dan dibawa balik ke Malaysia kerana merupakan suspek utama dengan skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jelas beliau, arahan itu datang daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkunjung ke republik itu bertemu Jokowi pada hujung Jun lalu.

“Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia supaya membantu Polis Diraja Malaysia menjejaki saya di Indonesia pada 2 Jun lalu.

“Namun permintaan itu tidak dilayan oleh polis Indonesia kerana enggan melayan kes saya yang dianggap kecil buat mereka.

“Namun apabila Mahathir datang ke sana dan bertemu Jokowi, saya ditahan pada 2 Julai. Tindakan segera menahan saya itu apabila Mahathir berkata saya adalah suspek utama dalam kes 1MDB.

“Video Jokowi yang membuat pendedahan itu akan muncul tidak lama lagi untuk memberitahu cerita yang sebenarnya,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pembukaan Butik AD Scarves di Ampang di sini hari ini.

Jamal mendakwa, Jokowi kini menerima serangan media Indonesia kerana membazir wang yang banyak untuk memburu beliau apabila keputusan mahkamah hanya menjatuhkan denda RM400 dan ditahan dipenjara selama 27 hari sebelum dibebaskan minggu lalu.

Pada masa sama, Pengerusi Gabungan NGO Malaysia turut hairan dengan layanan istimewa yang diterimanya ketika ditahan oleh polis Indonesia.

“Bayangkan ketika saya ditahan, seramai 150 pegawai polis Indonesia selain 20 kakitangan Unit Tindakan Khas terlibat.

“Ketika ditahan pula, bilik saya begitu selesa dan disediakan dua doktor khas serta makanan diperiksa sebelum diberikan kepada saya.

“Malah pada hari saya dihantar pulang ke Malaysia, saya dihantar hingga ke dalam pesawat dan sepanjang perjalanan ke lapangan terbang diiringi ramai polis dan kenderaan pengiring,” katanya.

Dalam pada itu, Jamal menegaskan, ‘kehilangan’ dari Hospital Pakar Ampang Puteri hanya berpunca daripada salah faham antara beliau, pihak peguam dan hospital.

Namun jelas beliau, tindakannya melarikan diri Indonesia kerana terdapat kisah di sebaliknya yang akan didedahkan kemudian. – MalaysiaGazette