Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan selepas berjaya menewaskan pasukan Terengganu FC yang berkesudahan 3-1 pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Meskipun berjaya menjulang Piala FA 2022 dan dinobatkan sebagai pemain terbaik, Arif Aiman masih belum berpuas hati dengan pencapaiannya.

Ini kerana, anak kelahiran negeri Tok Gajah berusia 20 tahun itu masih belum mencapai kepuasan yang diinginkan dalam bola sepak dan pencarian itu masih berterusan.

“Dapat menjulang Piala FA dan menjadi pemain terbaik malam ini belum cukup memuaskan saya,. saya masih mencari lagi..dan saya hanya akan berpuas hati bila sudah bersedia dan menang lebih banyak kejohanan bersama JDT di pentas antarabangsa nanti,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan selepas berjaya menewaskan pasukan Terengganu FC yang berkesudahan 3-1 pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2022.

Pada awalnya, Arif tertanya-tanya adakah dia layak untuk beraksi bersama-sama dalam kesebelasan utama malam tadi meskipun sudah enam tahun bersama pasukan senior JDT FA.

”Namun, kata-kata semangat TMJ (Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail) yang sentiasa menyebut ”pergi enjoy the game dan be aggresive on field” memberi motivasi kepada saya untuk terus beraksi dengan semangat juang tinggi dan tak sangka boleh cipta gol untuk skuad,” ujarnya.

Ditanya sama ada dia berasa dirinya pemain terbaik dalam liga Malaysia, Arif dengan penuh rendah diri menyifatkan ramai lagi pemain terbaik berbanding dirinya.

Dalam aksi menang malam tadi, Arif berjaya meletakkan pasukannnya di hadapan pada minit ke-35 menerusi gol rembatan kencang.

Jaringan itu sekaligus memberi kelebihan kepada Harimau Selatan menambah jaringan dan menjulang gelaran itu untuk kali kedua selepas enam tahun. – MalaysiaGazette