Safuwan Baharudin. Foto Facebook NSFC.

KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan FC (NSFC)  telah melepaskan pemain pertahanan Singapura, Safuwan Baharudin selepas dia mula dikaitkan dengan beberapa pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) dan Thailand.

Keputusan mengejut itu nyata memberikan reaksi pelbagai pihak kerana Safuwan merupakan antara pemain yang menjadi taruhan K. Devan setiap kali Negeri Sembilan turun beraksi.

Safuwan melakukan 12 penampilan bersama NSFC musim ini dan penampilan terakhirnya bersama pasukan itu ialah sebagai pemain gantian ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada 8 Julai lalu.

Pengumuman yang dibuat oleh NSFC itu ternyata memberi tamparan hebat kepada skuad kendalian K. Devan selepas mengumumkan tiada penambahan pemain bagi jendela perpindahan kedua Liga Super musim ini.

Jika tiada sebarang perubahan perancangan yang dilakukan oleh pihak pengurusan The Jangs, NSFC akan kekal dengan tiga pemain import iaitu Herold Goulon, Levy Madinda dan Casagrande sehingga tamat musim 2023.

Sementara itu, Safuwan dikatakan akan kekal beraksi di Liga Malaysia (Liga M) meskipun terdapat minat dari kelab Thailand.

Difahamkan memilih untuk kekal beraksi di Liga Malaysia dengan bakal menyertai pasukan dari Lembah Klang atau Utara tanah air. – MalaysiaGazette