Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail

KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak berpuas hati bekas suaminya mengelak daripada membayar hutang sebanyak RM87,000, seorang wanita bertindak menumbuk dan menendang lelaki itu di sebuah rumah di Bukit Indah, Ampang, Selangor, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian pada 6.55 petang, wanita berusia 38 tahun yang bekerja sebagai akauntan itu telah pergi ke rumah bekas suaminya yang berusia 28 tahun dan bertindak memarahi mangsa berkaitan hutang berkenaan sebelum menumbuk mulut pengadu.

“Suspek juga telah mengetuk kepala mangsa dengan hulu pengikis simen serta menendang pengadu di bahagian perut. Ketika kejadian mangsa sedang mengemas rumah sewa untuk diserahkan kembali kepada pemilik rumah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang merupakan seorang peniaga telah membuat laporan polis dan wanita berkenaan ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, pada 9.45 malam, di Ampang.

Katanya siasatan mendapati, pasangan yang mempunyai seorang anak berusia setahun lebih itu telah bercerai pada 11 Julai lalu.

Menurutnya, polis mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Ampang hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya. – Bernama