Ridzuan Abdullah

KUALA LUMPUR – Ambertex (M) Sdn. Bhd. (Ambertex) yakin kekal menjadi peneraju teknologi salutan (coating) permukaan di negara ini pada masa akan datang.

Pengarahnya, Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya optimis visi tersebut dapat dicapai selepas semakin agresif memperkenalkan jenama syarikat sejak awal tahun lalu.

Jelas beliau, jenama syarikat iaitu Ambertex High Performance Coatings kini mula menjadi pilihan pelanggan sejak teknologi baharu dicipta enam tahun lalu.

“Sebenarnya, Ambertex menceburi teknologi salutan ini sejak enam tahun lalu. Namun empat tahun pertama, kami lebih menumpukan kepada kajian dan penyelidikan bagi memastikan jenama produk yang dikeluarkan bermutu tinggi dan berkualiti.

“Justeru, kini muncul satu inovasi melalui teknologi hasil ciptaan saya apabila Ambetex dapat menggantikan jubin lebih cepat dan mudah tanpa memecahkan jubin atau apa-apa permukaan asal.

“Ambertex tampil menggunakan tekonologi salutan (coating) sebagai bahan asas dan seterusnya ditambah efek metalik sebagai bahan komposit sebelum disalut pula dengan ‘top coat’ bagi mengukuhkan lagi lapisan kalis air agar dekorasi kelihatan baru dan cantik.

“Pada masa sama, masa pengeringan yang diambil hanya anggaran empat jam berbanding kaedah biasa mencecah masa 60 jam.

“Selain itu, salutan ini juga boleh dilakukan ke atas papan dan  tahan kebakaran. Ini bukan bermaksud ia tidak boleh terbakar tetapi mengambil masa untuk hangus jika rumah dijilat api,” katanya.

Beliau ditemui pada sesi bersama media untuk memperkenalkan teknologi salutan itu di pejabatnya di Setapak baru-baru ini.

_MG_0892

Tambah Ridzuan, ketahanan jubin yang disalut juga kekal kuat dan teguh serta tidak mudah retak biarpun dihentak dengan menggunakan tukul besi.

Ini kerana jelasnya, salutan yang disembur pada permukaan asal mampu menahan berat sehingga 10 tan untuk jubin berukuran satu milimeter.

“Lebih menarik, pelanggan kami boleh memilih sebarang bahan dekorasi yang tersedia ada sama ada granit, marmar dan sebagainya dengan kesan metalik atau cahaya dalam kegelapan (glow in the dark).

“Salutan ‘glow in the dark’ ini memang sesuai dipasangkan di bilik kanak-kanak yang gemar menconteng dinding kerana mereka boleh bermain cahaya dengan hanya melukis pada dinding menggunakan lampu suluh khas .

“Selain itu, pelanggan juga ditawarkan pilihan untuk memasang lantai bercorak 3D sekali pun tidak memiliki lantai asal yang tidak licin.

“Lebih menakjubkan kami tidak menggunakan sebarang bahan kimia dan sudah pasti produk kami selamat untuk kanak-kanak merangkak selain mudah dicuci dengan menggunakan mop biasa sahaja,” katanya.

_MG_1163

Ridzuan memberitahu, Ambertex juga mampu memenuhi impian rakyat Malaysia yang mengidamkam lantai rumah yang mewah dan elegan, tahan lama dan unik kerana pihaknya menawarkan kira-kira 1,060 warna untuk granit dan 60 warna bagi kesan marmar kosong atau bercorak.

Jelasnya lagi, yang pasti, pelanggan akan terkejut dengan harga yang ditawarkan iaitu bermula serendah RM12 sekaki hingga RM30 sekaki.

Ujar lelaki berusia 30 tahun ini, Ambertex kini hanya bertindak sebagai pengeluar produk sahaja dan kerja-kerja pengubahsuaian itu diserahkan kepada 67 kontraktor syarikat yang terpilih dan sedia ada.

_MG_1185

“Kontraktor kami sudah terbukti keupayaan mereka apabila terlibat dengan beberapa projek di beberapa tempat awam seperti ruang tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, kilang MARDI dan banyak lagi.

“Malah dalam usaha memperkembangkan jenama High Performance Coating ini, saya merancang untuk melangkah ke peringkat global apabila bakal memasarkannya di Maldives, Taiwan, Indonesia, Myanmar dan China tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang berminat mengetahui teknologi salutan ini boleh melayari laman sosial Facebook Ambertex atau hubungi talian 03-41415084 serta hadir ke galeri Ambertex di Pusat Komersil Star Parc Point, Taman Danau Kota, Setapak di sini. – MalaysiaGazette

_MG_1207