Mohd Muzzammil Ismail
Exco Armada Malaysia, Mohd Muzzammil Ismail

KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tidak teragak-agak membuat laporan polis bagi menghalang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada terus menggunakan nama parti dan mencampuri urusan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Exco Armada Malaysia, Mohd Muzzammil Ismail mendakwa, tindakan Syed Saddiq membuat sidang media semalam adalah satu penyamaran untuk mengelirukan ahli parti, salah guna kuasa dan berniat jahat.

“Kami (Armada) akan membuat laporan polis terhadap penyamaran Syed Saddiq menggunakan nama parti dan memberi amaran terakhir untuk dia, sebagai orang luar tidak lagi mencampuri urusan dalaman Bersatu.

“Syed Saddiq bukan lagi ahli Bersatu dan boleh didakwa di bawah Akta Pertubuhan 1966.

“Ini setelah merujuk kepada pemakluman bertarikh 28 Mei 2020 mengenai kedudukan keahlian sebagai Ahli Bersatu di bawah Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Armada dan SriKandi Bersatu di semua peringkat mengiktiraf dan memberi sokongan penuh terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemangku pengerusi menurut Fasal 16.9 Perlembagaan parti.

“Tindakan yang dilaksanakan oleh Tan Sri Presiden adalah sah menurut Perlembagaan parti bagi mengukuhkan kedudukan Bersatu.

“Armada mengecam sidang media Syed Saddiq kerana mereka memutarbelitkan perlembagaan parti, memberi tafsiran yang berniat jahat dan membelakangi keputusan parti.

“Hampir sebahagian senarai nama yang dikeluarkan pimpinan Armada dinafikan oleh penama-penama tersebut tidak menyokong apa keputusan yang telah dikeluarkan oleh Bersatu,” katanya.

Menurutnya, tidak logik bagi ahli Parlimen Bersatu tidak menyokong blok dan kerajaan di bawah kepimpinan Muhyidin selaku Presiden Bersatu di dalam Parlimen pada 18 Mei 2020.

“Bahkan ini secara terang telah dinyatakan oleh mereka dalam notis kepada Parlimen untuk tidak mahu duduk bersama-sama blok kerajaan,” katanya.

Katanya lagi, keputusan Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) adalah keputusan majoriti Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dimuktamadkan dalam mesyuarat pada 23 Februari lalu.

“Keputusan tersebut turut diakui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam Perutusan Perdana Menteri Interim yang menyebut bahawa Bersatu telah memutuskan untuk keluar daripada PH.

Beliau juga menegaskan bahawa Bersatu adalah milik semua ahli parti dan bukan milik mana-mana ahli berkepentingan, bahkan pelaksanaan ‘rule of law’ Perlembagaan parti itu mestilah dipatuhi dan tiada sesiapa terkecuali.

“Sudah-sudahlah menunggang suara akar umbi untuk tujuan peribadi. Sebaik-baik keputusan dalam berorganisasi adalah berlandaskan keputusan dari suara majoriti.

“Armada menyeru semua ahli Bersatu merapatkan saf, menyokong serta mendokong kepimpinan Tan Sri Muhyidin sebagai Presiden Bersatu dan Perdana Menteri Malaysia bagi mengukuhkan parti dan kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Buat lapuran polis terhadap madey juga sebab dia masih mengaku pengerusi bersatu. Suruh polis panggil dia ke balai.

  2. Saya sokong ape yg saudara muzzamil….buat laporan polis terhadap MP Muar sbb masih menggunakan kepentingan parti sdgkan beliau sudah digugurkan keahlian……beliau mmg mentah dalam politik…beliau menang pun atas dasar hasutan pemikiran rakyat Muar

  3. Buatllah jika mu rasa mu yang betul. Bodoh Tunggulah Atok akan guna saluran undang-undang untuk pecat Yiddin. Atok tak setuju Bersatu keluar dari PH dan Atok ada kuasa kerana Atok pengerusi. J

Comments are closed.