DHAKA – Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Khaleda Zia yang kini merupakan ketua pembangkang dijatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Hukuman itu selepas beliau didapati bersalah menyeleweng dana sebanyak AS$252,000 (RM990,000) milik anak-anak yatim negara ini.

BBC melaporkan, Khaleda, 72, didapati bersalah ‘mencuri’ wang tersebut daripada tabung amanah yang diwujudkan untuk membina rumah anak-anak yatim oleh mahkamah Bangladesh.

Hakim Mohammad Akhteruzzaman menjatuhkan hukuman itu yang berkuatkuasa serta merta selepas mensabitkan pemimpin wanita sebanyak dua kali itu atas tuduhan menyeleweng dana kerajaan bagi tujuan peribadi.

Khaleda yang merupakan Ketua Pembangkang Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa ianya sengaja diwujudkan demi agenda politik.

Hukuman penjara itu sekaligus akan menyebabkan beliau tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum tahun ini.

Ketika hukuman itu di jatuhkan, para penyokong yang rata-ratanya dari ahli keluarga, sahabat dan ahli-ahli parti bertindak menangis bersama-samanya dalam kompleks mahkamah yang penuh sesak hari ini.

Menurut Khaleda, tuduhan serta keputusan hukuman bermotifkan politik dan sengaja dilakukan oleh orang berkepentingan yang tidak mahu dirinya terus menceburi dunia politik.

“Saya akan kembali. Kali ini dengan lebih kuat. Saya mohon kepada semua penyokong supaya bersabar. Saya akan kembali.

“Keputusan ini tidak betul dan saya tidak bersalah. Ini semua bermotifkan politik untuk menjatuhkan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sanak saudara sambil menangis teresa-esak sebelum dibawa keluar daripada kompleks mahkamah ke penjara oleh sekumpulan polis.

Ketika kejadian, para penyokong beliau turut berdemonstrasi mendesak kerajaan untuk menarik balik hukuman tersebut.

Beratus-ratus polis dikerah untuk berkawal memandangkan kebimbangan pihak berkuasa akan berlaku insiden tidak di ingini.

Anak lelaki Khaleda yang kini berada di London turut dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bersama-sama dua orang pegawai khasnya yang dipercayai bersekongkol dalam penyelewengan itu.

Khaleda dipercayai telah melakukan perbuatan itu ketika masih lagi menjawat jawatan Perdana Menteri Bangladesh antara 1991 dan 1996, kemudian sekali lagi berjaya menjawat jawatan sama pada 2001 hingga 2006.- MalaysiaGazette