BERNAS sokong usaha kerajaan untuk pastikan bekalan beras putih tempatan mencukupi untuk keperluan rakyat.

KUALA LUMPUR – Mekanisme harga yang dikawal oleh kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani menyebabkan keseluruhan faktor beras di negara ini berada dalam keadaan terkawal.

Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam satu kenyataan berkata, sebagai syarikat yang melaksanakan Mekanisme Pengawal Selia tunggal berkata pihaknya mewarisi polisi serta tanggungjawab daripada Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN).

“Tugasan termasuklah untuk menyelenggara dan mengurus stok penimbang negara, membeli padi daripada petani dengan harga minimum dan terjamin, serta menyediakan sokongan dan jaminan kepada pengilang bumiputera dan mengawal mutu beras,” kata kenyataan itu baru-baru ini.

Menurut kenyatan itu lagi, selama lebih dua dekad, Bernas diberi tanggungjawab untuk mengekalkan keselamatan makanan terutama bagi mendapatkan beras pada harga yang stabil serta berpatutan.

Laporan Institut Penyelidikan Khazanah turut melaporkan pada tahun 2008 di mana berlakunya krisis harga makanan dunia.

Ketika itu harga beras dunia telah meningkat sehingga 250 peratus daripada USD300 kepada USD1,000 (RM4,110) per tan sekaligus memaksa pengguna di kebanyakan negara membayar pada harga tinggi.

“Bagaimanapun di Malaysia, rakyatnya ketika itu hanya perlu membayar RM2.60 untuk setiap kilogram beras , di mana hanya 30 peratus hingga 50 peratus kenaikan harga berbanding sebelum krisis makanan 2008 berlaku,” ujar Bernas.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut memberitahu, di bawah mekanisme tersebut, Bernas juga meneruskan usaha untuk memastikan kebajikan pesawah terjaga menerusi pengurusan pembayaran subsidi kepada petani di bawah Skim Subsidi Harga Padi.

Jelasnya, memecahkan model pengimport tunggal nampak mudah, namun melaksanakannya memerlukan pendekatan terperinci.

“Kedudukan serta fungsi Bernas sebagai penjaga industri padi dan beras tempatan perlu diambil kira, kerana soal jaminan keselamatan bekalan makanan negara turut dipertaruhkan.

“Pemerhati industri juga mengingatkan adalah tidak mustahil tragedi kenaikan harga beras seperti tahun 2008 akan berulang sekiranya model pengimport tunggal dimansuhkan.

“Selain itu, masalah pengimport enggan membawa masuk beras kerana bimbang akan menanggung kerugian juga mungkin akan berlaku,” jelas Bernas lagi. – MalaysiaGazette