Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke mahkamah bagi mendengari keputusan sama ada dibebaskan atau diperintah membela diri terhadap 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 23 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Nasib bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam 40 tuduhan rasuah berkaitan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN) akan ditentukan pagi ini.

Para pengamal media tempatan dan antarabangsa telah diminta mendaftar dua hari awal untuk liputan kes tersebut dan hanya 40 petugas dibenarkan membuat liputan.

Bagaimanapun masing-masing hanya boleh masuk ke pekarangan mahkamah selepas jam 8 pagi.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati ada kalangan  penyokong Ahmad Zahid telah tiba seawal jam 7 pagi di pekarangan mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Yazid Mustafa akan membuat keputusan sama ada pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap dakwaan rasuah diterima oleh Ahmad Zahid atau sebaliknya sekitar jam 9 pagi ini.

Seandainya pendakwaan berjaya, maka Ahli Parlimen Bagan Datuk itu akan diarahkan membela diri terhadap tuduhan itu, jika tidak, hakim akan melepaskan dan membebaskan Ahmad Zahid jika tiada kes prima facie terhadapnya esok.

Ini merupakan antara kes berprofil tinggi yang berlangsung selama 33 hari bermula 24 Mei 2021 dan berakhir pada 11 Ogos lepas dengan memanggil 18 saksi, antara saksi penting termasuklah bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun dan Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, V Mahendran.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk sedang berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah S$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat ber­kenaan sebagai pengendali OSC di China dan VLN.

Suapan itu juga bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama, oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.

Sekiranya Ahmad Zahid dikehendaki membela diri, beliau diberi tiga pilihan iaitu boleh memilih untuk berdiam diri. Pilihan kedua, boleh membela diri dengan memberi ke­terangan dalam kandang orang kena tuduh (OKT) dengan opsyen itu, pihak pendakwa tidak boleh atau tidak dibenarkan soal balas.

Atau pilihan terakhir, Ahmad Zahid boleh membela diri dengan memberi keterangan secara bersumpah dan boleh disoal balas. – MalaysiaGazette