Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – BMW Group Malaysia meneruskan pencapaian cemerlang selama tujuh tahun berturut-turut dengan mencatatkan peningkatan 16 peratus atau 12,680 unit kenderaan BMW, Mini dan BMW Motorrad telah diserahkan pada 2017, sekali gus memecahkan rekod sebelumnya.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, syarikat berkenaan berkata, pembuat kereta mewah itu merekodkan pencapaian jualan tertinggi global dengan jumlah penyerahan keseluruhan sebanyak 2.64 juta kenderaan.

Pada 2017, jenama BMW menyaksikan pertumbuhan 4.2 peratus dalam penyerahan keseluruhan atau 2.09 juta unit kenderaan sementara jenama MINI turut mencatatkan rekod baharu jualan pada 2017, mengembang sebanyak 3.2 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan 371,1881 penyerahan.

Jualan rangkaian BMW Motorrad juga meningkat sebanyak 13.2 peratus dengan jumlah keseluruhan 164,153 unit seluruh dunia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, BMW lebih komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada Malaysia dan rantau Asia Tenggara tahun ini.

Katanya, untuk tahun 2018, BMW Group Malaysia akan mula menyerahkan BMW 3 Series, BMW 5 Series dan BMW 7 Series kepada Vietnam dan Filipina. – MalaysiaGazette