arrest warrant Sultanah Nur Zahirah the Editor of Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown
Clare Rewcastle-Brown

KUALA LUMPUR – Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown akan memfailkan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi menggugurkan pertuduhan jenayah dihadapinya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selewat-lewatnya minggu ini.

Untuk makluman, sebelum ini Clare didakwa telah melakukan fitnah melalui buku The Sarawak Report – The Inside Story Of The 1MDB Expose terhadap Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Clare akan membuat permohonan ini selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman RM100 juta dikemuka Sultanah Nur Zahirah, masing-masing terhadap Rewcastle-Brown; penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Si dan pencetak, Vinlin Press Sdn Bhd pada 31 Oktober lepas.

Peguambela Rewcastle-Brown, Guok Ngek Seong mengesahkan penyerahan representasi selepas pengurusan kes itu di sini hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar, Catherine Nicholas.

Pada 23 September 2021, Clare itu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara in-absentia atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan memfitnah Sultanah Nur Zahirah melalui buku itu.

Pertuduhan terhadap Clare dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Pengarang Sarawak Report itu kemudian memfailkan permohonan untuk memindahkan kesnya daripada Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi di sini.

Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November 2018 mendakwa kenyataan itu berbaur fitnah.

Itu antara lain bermaksud baginda terbabit amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Terengganu serta menggunakan status untuk mempengaruhi penubuhan TIA yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Terengganu juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low untuk menjadi Penasihat TIA. -MalaysiaGazette