Home Utama Datuk Vida dedah pernah dilamar parti politik

Datuk Vida dedah pernah dilamar parti politik

Pengasas produk Vida Beauty, Datuk Seri Vida.

KUALA LUMPUR – Pengasas produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman mendedahkan beliau pernah dilamar sebuah parti politik untuk menjadi calon bertanding dalam pilihan raya umum (PRU).

Bagaimanapun, beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Datuk Seri Vida menolak lamaran itu secara baik.

“Ada diajak secara lisan… tapi tak mahulah, saya tak boleh beri komitmen, masa yang ada sekarang juga tak cukup nanti terbelah dua badan saya,” katanya dalam satu wawancara secara langsung di Facebook.

Hasmiza berkata, beliau tidak mempunyai ketokohan untuk menjadi seorang wakil rakyat dan disebabkan itu dia enggan memasuki gelanggang politik.

“Taklah sayang, saya tak ada tokoh, lagi pun masa saya sibuk, kalau kita lihat ahli politik jadual mereka padat, jadi tak mahulah saya,” katanya lagi.

Menerusi wawancara itu Hasmiza turut menyatakan perjalanan kehidupannya kini, yang sangat sibuk dengan beberapa projek untuk dilaksanakan.

Antara projek itu katanya, fokus untuk membina sekolah Tahfiz di Tanah Merah, Kelantan serta keluaran kedua lagunya yang sedang dihasilkan. – MalaysiaGazette

Comments are closed.