David Moyes dilantik sebagai pengurus baharu WEst Ham menggantikan manuel Pellegrini semalam.

LONDON – David Moyes kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila diumum sebagai Pengurus West Ham United semalam.

Warga Scotland, 55, itu menandatangani kontrak selama 18 bulan dengan pelawanan pertama menentang Bournemouth Rabu ini.

Moyes menggantikan Manuel Pellegrini yang dipecat pada Sabtu lalu selepas the Hammers tewas 1-2 di halaman sendiri kepada Leicester City.

“Saya rasa seperti masih mempunyai kerja yang belum diselesaikan di EPL,” katanya secara ringkas.

Pellegrini yang membantu the Hammers menghuni tangga ke-10 dipecat ekoran kekalahan keempat berturut-turut di gelanggang sendiri kelmarin.

Nasib Hammers kini terumbang-ambing apabila pasukan itu hanya dipisahkan dengan 1 mata daripada zon penyingkiran.

Moyes pernah menerajui West Ham pada 2017 dan menyatakan keterujaannya kerana diberi mandat kembali semula ke kelab sama.

Untuk rekod, moyes mencatatkan 9 kemenangan dan 10 seri daripada 31 perlawanan EPL bersama West Ham dua musim lalu.

“Walaupun saya teruja tetapi kini saya mempunyai misi besar apa yang saya boleh lakukan untuk memperbaiki kelab ini dan merekodkan kemenangan selepas ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette