Dennis Buschening. Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain Sabah FC dan UiTM FC, Dennis Buschening sah menyertai Kedah Darul Aman FC  bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2022.

Menerusi kenyataan laman rasmi Facebook kelab itu, kehadiran Dennis bersama Hijau Kuning telah mengisi slot pemain import bagi kuota Asean.

Sebelum ini Dechi Marcel N’guessan bagi kuota Antarabangsa dan Jang Suk-Won bagi kuota Asia telah diumumkan sebagai dua pemain import Kedah.

“Dennis dilahirkan di Jerman dan memiliki kerakyatan Thailand serta memulakan kerjaya bolasepak remajanya di Borussia Dortmund sebelum beraksi dengan beberapa kelab di Liga German.
“Mula berkelana di Thailand ketika mewakili Buriram United FC sekitar musim 2013, penglibatannya selepas itu mula mendapat perhatian kelab di Asean.
“Dia antara pemain mewakili Buriram United FC di perlawanan Suku Akhir AFC Champions League pada musim 2013.
“Dua musim lalu, Dennis beraksi mewakili Sabah dan UiTM FC dan aksinya mencuri perhatian pemerhati bolasepak melalui beberapa gol cantik yang dihasilkan termasuklah ketika beraksi menentang KDA FC musim lepas,” ujar kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette