Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan hari ini menyangkal dakwaan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat dengan menyatakan Malaysia bakal menjadi muflis seperti sebuah negara di Asia Selatan baru-baru ini.

Lantaran itu, kementerian ini telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai beberapa laporan palsu di media sosial mengenai kedudukan hutang negara yang dilihat bertujuan mengelirukan rakyat dan berpotensi untuk menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kedudukan fiskal negara masih kukuh dan hutang Kerajaan Persekutuan di tahap terkawal.

Kataya, aspek penting dalam pengurusan hutang adalah kemampuan keberhutangan dan kemampanan hutang biarpun negara telah melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi1 dan kewangan sebelum ini.

Ini kerana, kerajaan amat berdisiplin dan tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang yang matang, membuktikan reputasi dan kemampuan Malaysia sebagai penghutang yang mempunyai rekod bayaran balik yang baik.

Selain itu, pengurusan hutang secara berhemat juga diterapkan melalui undang-undang sedia ada, antara lainnya Artikel 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya kerajaan sentiasa mengutamakan perbelanjaan berkaitan hutang
(debt charges) berbanding perbelanjaan operasi yang lain.

Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 memperuntukkan pinjaman luar pesisir (offshore borrowings) tidak boleh melebihi RM35 bilion. Pada akhir Jun 2022, hutang ini berjumlah RM29.4 bilion.

Manakala Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2021 menetapkan bahawa had statutori hutang kerajaan tidak boleh melebihi 65% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurut beliau, pada akhir Jun 2022, hutang statutori mencatat 60.4% daripada KDNK.

Selain itu, 97% daripada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan adalah dalam denominasi ringgit, sekali gus mencerminkan pengurusan hutang berhemat kerana pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing adalah minimum.

”Paras hutang yang tinggi tidak bermakna negara mempunyai risiko kebankrapan. Pelbagai agensi penarafan antarabangsa seperti S&P Global, Fitch dan Moody’s sentiasa menilai tahap hutang sesebuah negara bersama dengan faktor lain seperti rangka kerja fiskal berhemat, tadbir urus yang utuh dan kedudukan luaran yang baik, serta kekukuhan ekonominya,” katanya di sini.

Tengku Zafrul menambah, Dana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengakui kedudukan hutang Malaysia masih di paras terurus.

Malah, baru-baru ini, S&P menjangkakan bahawa perancangan dasar kerajaan akan menyokong pengukuhan kedudukan fiskal negara. – MalaysiaGazette