Leonard Glenn Francis

SINGAPURA – Perkhidmatan Marshal Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran sehingga AS$40,000 untuk maklumat keberadaan ahli perniagaan Malaysia, Leonard Glenn Francis yang melarikan diri ketika dalam tahanan.

Ganjaran itu, yang juga ditawarkan oleh Perkhidmatan Penyiasatan Jenayah Tentera Laut AS, kata Marshal AS.

Lelaki berusia 57 tahun itu, yang lebih dikenali sebagai “Fat Leonard”, dilaporkan dalam pelarian selepas dia melarikan diri dari tahanan rumah di San Diego, California Ahad lalu.

Dia sepatutnya dijatuhkan hukuman selepas mengaku bersalah dalam kes rasuah melibatkan Tentera Laut AS.

Menurut beberapa laporan media Malaysia, Francis dilahirkan di Pulau Pinang.

Poster “individu dikehendaki” yang diedarkan oleh Marshal AS mengklasifikasikan Francis sebagai “pelarian kes utama”.

Dia dianggarkan mempunyai ketinggian kira-kira 187 sentimeter dan berat kira-kira 158 kilogram serta tidak mempunyai parut atau tatu dan digambarkan sebagai bangsa “Asia” dengan rambut hitam dan mata coklat, menurut poster itu.

Francis dikesan melarikan diri selepas agensi persekutuan yang memantau tahanan rumah Francis telah menerima amaran pada pagi 4 September lalu yang memaklumkan gelang buku lali GPS yang dipasang pada tertuduh sudah diusik.

Agensi itu kemudian cuba menghubungi Francis tetapi “tidak berjaya” dan membuat susulan dengan menghubungi peguam pembelanya.

Selepas peguam Francis juga tidak mendapat jawapan daripada anak guamnya, Jabatan Polis San Diego telah dihubungi untuk menjalankan pemeriksaan.

Polis kemudian membuat kesimpulan bahawa Francis “tidak kelihatan di rumah”.

Pegawai dari Pasukan Petugas Pelarian San Diego juga menjalankan pemeriksaan di kediaman Francis pada hari yang sama dan tidak dapat mengesannya.

Mereka juga mendapati monitor buku lali GPSnya telah dipotong, kata Marshals AS, sambil menambah bahawa keberadaan Francis sekarang ini tidak diketahui.

Francis, yang mengendalikan sebuah syarikat kontrak tentera di Singapura, pertama kali ditangkap pada 2013 semasa operasi persekutuan di sebuah hotel di San Diego, selepas dia disyaki menjalankan skim rasuah besar yang melibatkan beberapa pegawai tentera laut.

Dia didakwa menyogok pegawai-pegawai tentera laut AS dengan memberi makan, minum dan membayar langganan seks.

Dia mengaku bersalah pada 2015 kerana menawarkan rasuah kira-kira AS$500,000 kepada pegawai tentera Laut untuk mengarahkan kerja rasmi ke limbungan kapalnya dan mengenakan caj berlebihan kepada tentera laut sehingga AS$35 juta.

Francis mengalami banyak masalah kesihatan, termasuk kanser buah pinggang, yang menyebabkan dia dikenakan tahanan rumah pada 2018 sambil bertindak sebagai saksi kerjasama untuk pendakwa raya persekutuan.

Dia sepatutnya dijatuhkan hukuman pada 22 September ini.

Empat pegawai Tentera Laut telah didapati bersalah dalam kes itu setakat ini, manakala 29 orang lagi, termasuk pegawai tentera laut, kontraktor dan Francis sendiri, telah mengaku bersalah, kata media AS. – Agensi