Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melambaikan tangan kearah jemaah yang lain selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya. Foto AFFAN FAUZI, 16 JUN 2023.

CYBERJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung penggeledahan rumah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Rabu lalu.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak maklum akan siasatan terhadap Ahli Parlimen Larut itu.

“Itu urusan LHDN dan urusan badan siasatan. Saya tidak dimaklumkan,” katanya kepada media selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah hari ini.

Anwar diminta mengulas mengenai rumah Hamzah di Damansara yang digeledah LHDN.

Media semalam kediaman Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) oleh pegawai LHDN.

Laporan memetik sumber itu berkata, Hamzah difahamkan berada di rumahnya di Damansara, Kuala Lumpur ketika serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai kira-kira pukul 11 pagi.

Katanya, serbuan berkenaan dilakukan susulan terdapat beberapa cukai yang tidak dilaporkan.

Bulan lalu, Hamzah mengesahkan beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi memberi keterangan berhubung satu kes pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Beliau menyatakan, keterangan berkenaan dilakukan susulan pertuduhan ke atas ahli perniagaan, Sim Choo Thiam di mahkamah. 

Dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri tidak tahu mengenai timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan mengambil cuti selama dua minggu.

“Tak ada pula (dimaklumkan Ahmad Zahid bercuti),” ujarnya.

Anwar yang lengkap berbaju Melayu warna biru sebelum itu mendengar khutbah bertajuk “Ibadah Korban Simbol Ketaatan Kepada Allah” yang disampaikan oleh khatib, Ustaz Muhammad Radhi Zainuddin

Selepas menunaikan solat Jumaat, Perdana Menteri meluangkan masa bersalaman dan berbual ringkas dengan jemaah sebelum beredar.

Beliau sebelum itu turut beramah mesra bersama orang ramai selepas menikmati makan tengah hari di Medan Selera Sports Arena Cyberjaya, hari ini. – MalaysiaGazette