KUALA LUMPUR – Rakyat di Kelantan berpeluang menyaksikan gerhana bulan penuh, Rabu ini.

Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad berkata, gerhana bulan itu berlaku dalam beberapa peringkat bermula pukul 7.11 malam.

“Peringkat pertama, iaitu pada jam 7.11 malam tidak dapat dilihat.

“Bagaimanapun kemuncak gerhana bulan penuh itu dapat disaksikan selang tujuh minit kemudian, iaitu pada jam 7.18 malam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Nik Abdul Kadir berkata, gerhana bulan itu akan tamat pada jam 7.25 malam.

Katanya, apa yang menarik, gerhana bulan itu adalah pertama kali berlaku bagi tahun 2021, selepas kali terakhir dilihat pada 16 Julai 2019.

Antara amalan khusus boleh dilakukan semasa fenomena ini adalah melihat gerhana, solat gerhana dan khutbah gerhana,” tambahnya. – MalaysiaGazette