Shamsul Iskandar, Hans Isaac dan Altimet

KUALA LUMPUR – Percubaan sulung dua artis tempatan, Hans Isaac dan Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet dalam pentas politik tanah air gagal apabila kedua-dua mereka tewas dalam Pemilihan PKR 2022.

Menurut laman sesawang rasmi Pemilihan Keadilan 2022, mereka berdua yang bersaing bagi jawatan Ketua Cabang Ampang masing-masing hanya memperoleh 609 dan 589 undi sekali gus tewas kepada Daing Muhammad Reduan Bachok yang menang dengan mendapat 942 undi.

Pemilihan PKR kali ini turut menyaksikan keputusan mengejut apabila Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (379 undi) tewas kepada pencabarnya, Mohd Rafee Ibrahim (488 undi) dalam merebut jawatan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya

Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul sekali lagi tewas pada pemilihan kali ini bagi jawatan Ketua Cabang Sungai Petani kepada Ooi Tze Min dengan perbezaan 103 undi.

Sementara itu, Rafizi Ramli yang juga calon Timbalan Presiden PKR berjaya mempertahankan jawatan Ketua Cabang Pandan dengan meraih 548 undi, mengatasi pencabarnya Mohamad Rashidi Hassan (373) dan Adnan Jaaffar (121).

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari juga mempertahankan jawatan Ketua Cabang Gombak apabila memperoleh 1,858 undi, menyingkirkan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (bekas Setiausaha Politik kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang mendapat 1,215 undi.

Di Negeri Sembilan, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang julung kali bertanding bagi jawatan Ketua Cabang Port Dickson menang dengan memperoleh 1,129 undi menewaskan pencabar Ravi Munusamy (951) dan Sevalingam Birasami (477).

Beliau pernah menyandang jawatan Ketua Cabang Tampin sejak 2018 dan Naib Ketua Cabang Seremban sebelum itu.

Sementara itu, percubaan pertama Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik bertanding Ketua Cabang kawasan parlimen berkenaan membuahkan hasil apabila menang setelah meraih 109 undi menewaskan pencabarnya Faizul Abdul Ghani yang mendapat 66 undi.

Setakat 5 petang ini, tujuh negeri sudah mengumumkan keputusan pemilihan PKR iaitu Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Sabah dan Johor. – BERNAMA

2 Komen

Comments are closed.