Hawaii muncul sebagai negeri pertama mencabar perintah larangan perjalanan yang disemak semula oleh Donald Trump di Mahkamah Persekutuan di Honolulu.-Foto:AP

HAWAII – Hawaii menjadi negeri pertama di Amerika Syarikat mengambil tindakan undang-undang untuk menghalang larangan perjalanan yang dikenakan Presiden Donald Trump.

Peguam negeri itu memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan di Honolulu bagi mencabar perintah larangan yang dikenakan Trump ke atas enam negara Islam.

Hawaii sebelum ini menyaman larangan perjalanan awal yang ditetapkan Trump tetapi ia ditangguhkan sementara kes lain didengar.

Hawaii memberi notis saman pada malam Selasa bahawa ia memfailkan tuntutan mahkamah dipinda untuk menampung larangan baharu yang akan berkuatkuasa 16 Mac ini.

Perintah Eksekutif yang disemak itu melarang pengeluaran visa baharu untuk penduduk enam negara Islam selain menutup program pelarian Amerika Syarikat.

Ia tidak terpakai kepada golongan yang sudah memiliki Visa.

Persatuan Islam di AS bimbang dengan tindakan Presiden Donald Trump yang mengenakan perintah larangan perjalanan baharu ke atas enam negara Islam. -Foto:AP
Persatuan Islam di AS bimbang dengan tindakan Presiden Donald Trump yang mengenakan perintah larangan perjalanan baharu ke atas enam negara Islam. -Foto:AP

Tindakan Trump mencetuskan kebimbangan populasi Muslim di negeri itu termasuk Persatuan Islam AS.

Hawaii menjadi negeri pertama memulakan tindakan undang-undang untuk menghalang larangan perjalanan yang disemak semula itu.

Hawaii mendakwa perintah baharu Trump akan mengancam populasi penduduk Islam, pelancongan dan pelajar warga asing di negara itu.

“Hawaii sangat istimewa kerana tidak pernah mengamalkan budaya diskriminasi dari segi sejarah dan perlembagaan.

“Sebanyak 20 peratus penduduk di Hawaii dilahirkan di luar negara, 100,000 adalah bukan warganegara dan 20 peratus lagi tenaga buruh yang dilahirkan di luar negara juga,” kata Peguam Negara Hawaii, Doug Chin.

Tindakan itu menyusul selepas Hakim Persekutuan di Honolulu menjelaskan Hawaii akan meneruskan tindakan saman itu.

Hakim Daerah di AS, Derrick Watson membenarkan permintaan Hawaii untuk meneruskan kes dan menetapkan 15 Mac ini sebagai tarikh sebutan kes.

Jabatan Keadilan AS tidak mahu mengulas lanjut berhubung kes tersebut. – MalaysiaGazette