Khairy Jamaluddin dilihat beraksi di atas pentas bersama Jude Macson Bensing dalam rakaman video yang tular melalui Instagram.

KUALA LUMPUR – Siapa sangka Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mempunyai bakat terpendam dalam muzik dan mampu bermain gitar dengan baik.

Baru-baru ini, bekas Ahli Parlimen Rembau itu dirakam beraksi dengan artis tempatan, Jude Macson Bensing di atas pentas.

Rakaman video yang memaparkan penampilan istimewa Khairy yang dilihat menggunakan gitar jenis Fender Stratocaster itu tular setelah dikongsi melalui laman Instagram milik Ilwoo Noah Lee @papaleepup.

Pada permulaan rakaman, Khairy beraksi lincah dengan memetik gitar sambil melompat sehingga kedua-dua kakinya tidak menjejak pentas.

Sebahagian besar netizen yang menyaksikan video tersebut menyatakan mereka tidak menyangka Khairy juga mempunyai bakat seni.

“Woah saya tidak tahu Khairy boleh bermain,” kata seorang netizen.

“Wahhhhh rockstar la sekarang,” komen netizen yang lain.

Ada juga netizen yang berseloroh, “Boleh la nanti battle of the band dengan DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim).”

Video tersebut menerima hampir 3,000 sukaan dan 160 komen setakat ini. – MalaysiaGazette