PUTRAJAYA – Isu tanggapan sesetengah mahasiswa yang menerima rasuah bukan satu kesalahan akan di bawa ke tengah oleh Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

Ia akan dibincangkan oleh ahli Lembaga Pengarah YSS dalam masa terdekat, kata pengerusinya, Tan Sri Lee lam Thye.

Bagaimanapun kesedaran mengenai integriti dianggap langkah penyelesaian terbaik menangkis tanggapan tidak sihat itu yang mempengaruhi minda mahasiswa universiti tempatan di negara ini.

Menurut Lam Thye, langkah perbincangan itu penting untuk YSS membuat kajian dan mendapatkan pandangan ahli-ahli lembaganya sebelum mencari langkah menangani isu itu secara berkesan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas berucap di Ulang Tahun Ke-7 penubuhan Yayasan Sukarelawan Siswa di Pantai Buatan Putrajaya di sini hari ini.

Sebelum itu, kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap 1,000 pelajar universiti menunjukkan sebanyak 16 peratus daripada mereka sanggup menerima rasuah dan manakala 18.5 peratus akan menerima rasuah jika tidak ada tindakan undang-undang dikenakan.

Malah satu lagi tinjauan persepsi pelajar terhadap rasuah oleh Institut Integriti Malaysia pula mendedahkan, satu dalam setiap tiga pelajar universiti tempatan berpendapat menerima hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan sebagai balasan bukan unsur rasuah.

Lam Thye berkata, untuk mengakis persepsi itu, aspek integriti harus diberi penekanan sebagai langkah efektif untuk menangani rasuah dalam kalangan mahasiswa.

“Soal persepsi rasuah yang dianggap bukan suatu masalah besar atau tak salah oleh mahasiswa universiti, maka saya rasa YSS komited dalam memperhalusi aspek integriti.

“Kami kamu mahasiswa dijunjung dengan amalan berintegriti dan kalau ada sikap itu soal rasuah tidak akan wujud selain tidak timbul soal kekurangan integriti dalam kalangan pelajar universiti tempatan,” tegasnya.

Dalam pada yang sama, katanya, aspek kenegaraan juga penting untuk setiap alumni dan mahasiswa memperkukuhkan semangat kenegaraan untuk jati diri dan mengharumkan nama negara.- ujar beliau lagi.- MalaysiaGazette