KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat marginal 0.6 peratus tahun ke tahun pada November 2023 dipengaruhi oleh pertumbuhan sederhana dalam sektor perlombongan dan elektrik, meskipun sektor pembuatan mengalami penurunan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin,berkata, peningkatan ini disokong oleh pengembangan sederhana dalam sektor perlombongan sebanyak 1.9 peratus (Oktober 2023: 7.4%) dan sektor elektrik sebanyak 4.2 peratus (Oktober 2023: 5.6%).

Sementara itu, sektor pembuatan menurun kepada negatif 0.1 peratus selepas tumbuh positif bagi dua bulan berturut-turut (Oktober 2023: 0.9%).

Perbandingan bulan ke bulan menunjukkan IPP kembali kepada jajaran negatif (-0.9%) berbanding positif 1.9 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

“Penurunan pengeluaran pembuatan adalah disebabkan oleh pengeluaran output yang lebih rendah dalam industri berorientasikan eksport yang merosot 2.7 peratus (Oktober 2023: -1.6%).

”Penyusutan ini dipengaruhi terutamanya oleh kejatuhan dalam pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (-8.6%); pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-1.8%); dan pembuatan kayu & produk kayu & gabus (-1.9%),” katanya.

Trend ini selari dengan eksport negara yang mengalami kemerosotan sejak Mac 2023 dan merekodkan negatif 5.9 peratus pada November.

Perbandingan dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan eksport menyusut 2.2 peratus.

Sebaliknya, industri berorientasikan domestik kekal kukuh dengan mencatatkan peningkatan 5.8 peratus pada November 2023 (Oktober 2023: 6.7%).

Kenaikan ini didorong terutamanya oleh pertumbuhan dua digit 10.9 peratus dalam pembuatan produk prosesan makanan; pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin & kelengkapan sebanyak 8.9 peratus; dan pembuatan produk galian bukan logam lain sebanyak 6.9 peratus.

Perbandingan dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik pulih kepada 3.7 peratus berbanding negatif 1.4 peratus yang direkodkan pada Oktober 2023.

Tambahnya, pertumbuhan pengeluaran sektor perlombongan menyederhana kepada 1.9 peratus pada November 2023 (Oktober 2023: 7.4%) kesan daripada peningkatan sederhana dalam gas asli dan minyak mentah & kondensat masing-masing sebanyak 1.7 peratus (Oktober 2023: 7.6%) dan 2.1 peratus (Oktober 2023: 7.2%).

Berbanding Oktober 2023, indeks perlombongan merosot 1.8 peratus berbanding pertumbuhan dua digit 15.3 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Pertumbuhan pengeluaran elektrik menyederhana kepada 4.2 peratus pada November 2023 selepas mencatatkan peningkatan 5.6 peratus pada bulan lalu.

Berbanding bulan sebelumnya, indeks elektrik menurun 4.6 peratus berbanding positif 5.3 peratus yang direkodkan pada Oktober 2023. – MalaysiaGazette