Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – IRIS Corporation (IRIS) bakal mengumumkan rakan kongsi strategiknya awal minggu depan.

IRIS yang dimiliki 21.33 peratus oleh sayap pelaburan Felda, Felda Investment Corp. Sdn. Bhd. (FIC) merupakan sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran di dalam menghasilkan peralatan dan cip elektronik pengenalan diri seperti Mykad dan pasport.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad mengaku bahawa pelabur baharu itu akan menguasai 10 peratus saham modal terbitan dan berbayar IRIS.

“Ini merupakan salah satu daripada langkah yang diambil di dalam penstrukturan semula IRIS.

“Kami (FIC) masih berminat dan mahu mengekalkan pegangan di dalam syarikat ini,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Hujung bulan lepas, IRIS mengumumkan pelan penstrukturan semula yang direka bagi memastikan pertumbuhan jualan dan keuntungan yang berterusan serta mampu memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.

Antara yang dirancang adalah memberikan fokus semula dan penekanan kepada perniagaan teras syarikat tersebut iaitu di dalam menghasilkan antaranya e-pasport, kad pintar, Automasi Kawalan Sempadan (ABC), perbankan serta skim pemulangan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada pelancong.

IRIS juga merancang untuk melepaskan perniagaan bukan teras seperti pembangunan hartanah, pendidikan dan loji penghasilan tenaga daripada sisa buangan yang tidak mencatatkan keuntungan.

Syarikat tersebut turut mengumumkan aktiviti Peletakan Swasta sehingga 10 peratus bagi saham modal terbitan dan berbayar kepada pelabur-pelabur strategik yang berpotensi.-MalaysiaGazette