Home Utama Jo Anna bakal calon DUN Kiulu?

Jo Anna bakal calon DUN Kiulu?

KUALA LUMPUR – ‘Kehadiran’ ratu cantik,  Jo Anna Henley Rampas dalam persada politik di Sabah menjadi fenomena.

Lebih-lebih lagi apabila Ratu Cantik Unduk Ngadai Kaamatan 2007 dan berusia 29 tahun itu disebut-sebut calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu pada PRU-14 ini.

Jika dipiih Timbalan Ketua Wirawati WARISAN itu bersedia tetapi memaklumkan ia terpulang kepada pucuk pimpinan parti termasuk presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

“Saya sendiri pun tidak tahu lagi. Pucuk pimpinan belum ada apa-apa makluman.

“Presiden (Mohd. Shafie) akan buat keputusan dan jika saya diberi peluang saya akan berusaha sedaya upaya saya yang terbaik dan saya yakin orang Sabah keseluruhannya bersedia untuk ubah Sabah,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Raut wajah yang cantik, Jo Anna pernah dinobatkan sebagai ratu cantik dalam Unduk Ngadai Kaamatan peringkat negeri pada 2007 selain aktif menyanyi sebelum ini.

Jo Anna yang sudah berkahwin sejak tahun 2016 berasal dari Kampung Poturidong, Kiulu berbangsa Dusun dan berdarah kacukan itu berkahwin dengan ahli perniagaan berasal dari Kajang, Selangor.

Beliau mendapat pendidikan dalam Bachelor of Laws daripada University of London dan melanjutkan pelajaran di University of the West of England dan memperoleh Master of Laws in International Law and Corporate Social Responsibility.

Mempunyai pengalaman berkerja dengan salah sebuah syarikat telekomunikasi di West Kensington,London selama dua tahun sebelum kembali ke Sabah pada tahun 2016.

Sebelum itu, beliau juga Naib Juara Bintang RTM pada tahun 2009.

Menurut Jo Anna, beliau aktif dalam WARISAN berkempen di Negeri Di Bawah Bayu itu selepass diperkenalkan oleh Timbalan Presiden WARISAN, Darell Leiking sejak dua tahun lalu.

Jika  menjadi calon kelak, Jo Anna menangkis dakwaan WARISAN menggunakan calon wanita muda yang cantik sepertinya semata-mata untuk meraih undi.

“Kita kena lihat perkara lain selain wajah yang cantik. Kalau saya dicalonkan saya akan pastikan saya buat kerja untuk rakyat,” tambahnya.

Untuk rekod, DUN Kiulu di bawah Parlimen Tuaran sejak pilihan raya pada tahun 2004 disandang oleh Barisan Nasional (BN).

Penyandangnya adalah Joniston Lumai @ Bangkuai (Parti Bersatu Sabah) sebelum ini mengalahkan emoat saingannya dari PKR, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Calon BEBAS dan Parti Progresif Sabah (SAPP) pada PRU-13 dengan majoriti 3,745 undi. -MalaysiaGazette