Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyampaikan sumbangan kepada penerima, Kamarulaizam Mat Junus pada Majlis Pelancaran Tabung Musa'adah Covid-19 Jakim di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah membelanjakan sebanyak RM102 juta untuk membantu pihak-pihak yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.

Menterinya, Senator Datuk Dr Zuklifli Mohamad Al-Bakri berkata, wang tersebut diambil daripada agensi-agensi di bawah jabatannya seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tabung Haji, Yayasan Pembangunan Islam Malaysia (YaPEIM) dan lain-lain.

Malah, institusi masjid di Wilayah Persekutuan turut mengorak inisiatif sama untuk mengambil kepedulian bagi membantu mereka yang terkesan dengan masalah berkenaan.

“Kami berjanji akan cuba menyantuni dan mahu semua terbela sekurang-kurangnya mereka boleh hidup, boleh makan dan minum, anak-anak mereka tidaklah kelaparan memanjang.

“Inilah usaha yang kami mahu dan Masjid Negara memainkan peranannya menjaga kawasan dan juga masjid yang lain boleh melakukan perkara sama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Musa’adah Covid-19 di Masjid Negara hari ini.

Pada majlis itu, Zulkifli menyampaikan sumbangan kepada sebilangan besar isi rumah yang berdepan masalah akibat PKP sejak 18 Mac lepas.

Sumbangan itu merupakan hasil pemberian orang ramai ke dalam tabung derma Masjid Negara dalam usaha meringankan beban golongan berkenaan.

Seramai 150 individu menerima sumbangan tersebut dengan setiap seorang diberikan wang tunai berjumlah RM300 danĀ  jumlah keseluruhan pemberian dari masjid itu sebanyak RM45,000.

Zulkifli berkata, bagi golongan asnaf yang mendapat bantuan daripada MAIWP, sumbangan berkenaan akan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing manakala yang tidak ada kemudahan itu inisiatif akan diambil untuk dihantar ke rumah.

Jelasnya, apa yang penting sumbangan tersebut perlulah diberikan secepat mungkin dan mesti berfokus kepada golongan sasaran. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.