Jun Aida

KUALA LUMPUR – AirAsia mengumumkan pelantikan Jun Aida sebagai Pengarah Perwakilan dan Ketua Pegawai Operasi AirAsia Japan Co Ltd berkuatkuasa 1 Januari 2020.

Jun akan mengambil alih jawatan itu daripada Jenny Mayuko Wakana yang akan melepaskan jawatan pada 31 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes yang gembira dengan pelantikan Jun berkata, sebagai jurutera dan eksekutif pesawat yang berpengalaman, beliau akan membawa pengalaman pengurusannya yang luas bagi meningkatkan pertumbuhan dan kejayaan syarikat penerbangan itu.

Jun menyertai AirAsia Group sebagai Penasihat Kanan pada tahun 2017.

Sebelum menyertai AirAsia, beliau adalah Pengarah Urusan bagi Phoenix Resort Co., Ltd., selain memegang peranan dalam pengurusan kanan di pelbagai syarikat multinasional termasuk Capcom U.S.A., Square USA. dan GAGA Communications.

Jun memegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeronautik dari Northrop University di Amerika Syarikat dan memiliki lesen mekanik juruterbang dan persendirian dari Aeronautical Aviation Administration (FAA) Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette