Secretary-General of DAP, Lim Guan Eng. chopsticks Chinese Malaysian Mahathir Mohamad
Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR- Pengundi bukan Melayu tahu Perikatan Nasional (PN) tidak ikhlas dan tidak memerlukan undi mereka namun golongan itu gelisah apabila pelbagai kenyataan bersifat ugutan yang dikeluarkan oleh ahli serta pemimpin parti berkenaan.

Pengerusi DAP, Lim Guan berkata, tindakan seorang selebriti yang juga penyokong Pas yang mengugut untuk membunuh penentang pemerintahan Islam (versi Pas) bukan sahaja kasar tetapi bertentangan dengan kedaulatan undang-undang dan nilai semua agama termasuk Islam.

Tegas beliau, tiada sesiapa pun berhak dibunuh kerana mempunyai fahaman politik yang berbeza.

“Penyokong Pas yang juga pelakon Zul Huzaimy baru-baru ini menyatakan hasrat dalam satu acara politik di Terengganu pada 4 November untuk ‘sembelih kafir harbi’, atau orang kafir (bukan Islam) yang menentang pemerintahan Islam yang kononnya dibawa oleh Pas.

“Zul berkata beliau memendam keinginan untuk menyembelih kafir harbi dan hanya undang-undang negara yang menghalangnya daripada berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Guan Eng menambah, dalam sebuah negara demokrasi, setiap rakyat diberi perlindungan untuk mengamalkan kebebasan dan hak memilih kerajaan termasuk menentang Pas.

Sehubungan itu, beliau meminta polis supaya mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebar kebencian serta menghasut pembunuhan terhadap orang bukan Islam secara terang-terangan.

Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Bagan itu turut menggesa pemimpin PN dan Pas untuk menghentikan politik kotor mereka menggunakan kaum, agama dan merendah-rendahkan martabat wanita semata-mata untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Tegasnya, ucapan kebencian dan perpecahan terhadap orang bukan Islam dan bukan Melayu akan menjejaskan keharmonian kaum, agama serta menjejaskan perpaduan nasional dan integrasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.- MalaysiaGazette