Tan Sri M.Kayveas

KUALA LUMPUR – Parti myPPP selesai mengadakan perhimpunan Agung ke-67 dan juga pemilihan semula Jawatankuasa Majlis Tertinggi kepimpinan parti tersebut semalam.

Tan Sri M. Kayveas berjaya mengekalkan kedudukan nombor satu parti itu berkata, pemilihan semula Majlis Tertinggi myPPP bagi sesi 2023- 2028 itu telah diadakan setelah mendapat arahan  daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Katanya, pemilihan semula yang diadakan semalam adalah sah di sisi undang-undang seperti diarahkan RoS.

“Pada Oktober lalu, kami telah menerima surat umum daripada RoS yang meminta myPPP mengadakan pemilihan semula Majlis Tertinggi kali ini.

“Atas arahan itu untuk memulihkan keadaan parti, kami dengan ahli-ahli sah parti mengadakan pemilihan semula pada hari ini (semalam)  membabitkan presiden, jawatan naib presiden (tiga orang) dan 18 ahli majlis tertinggi sesi 2023-2028 selesai dijalankan  tanpa masalah.

“Keputusan ini akan saya kemukakan kepada RoS nanti untuk tindakan lanjut dan saya ingin menegaskan di sini bahawa pemilihan yang diadakan adalah sah di sisi undang-undang seperti dikehendaki oleh RoS,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.

Ditanya mengenai satu lagi AGM dan pemilihan parti yang sama yang menjemput Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, beliau menyeru dan menasihatkan agar ahli parti myPPP tidak tertipu dengan program tersebut.

Ini kerana  AGM yang dianjurkan itu boleh dipertikaikan kesahihan dari sisi undang-undang kerana mereka bukan lagi ahli parti yang sah.

“Kesemua pihak di luar sana bukan ahli sah parti ini kerana terlucut keahlian dalam parti secara automatik selepas mengheret hal ehwal dan krisis dalaman parti ke mahkamah sepertimana disebut dalam Artikel 36.1.1 Perlembagaan myPPP.

“Jadi kalau bukan lagi ahli yang sah kerana terlucut keahliannya, penganjuran AGM dan pemilihan semula parti yang diprogramkan esok (hari ini) oleh mereka boleh dipertikaikan di sisi undang-undang kesahihannya.

“Saya kesal dengan perbuatan mereka kerana yang akan menerima tempias adalah para ahli di peringkat akar umbi parti yang mengharapkan minat dalam penglibatan politik yang agak matang dan profesional,” ujarnya.

Tegas Kayveas, beliau masih bersedia dan membuka pintu rundingan seluas-luasnya untuk duduk bersama berunding dan kembali bersatu.

“Tetapi perbuatan mereka yang bukan ahli sah parti ketika ini sedang berusaha mengadakan satu lagi pemilihan semula dan AGM myPPP mengikut kehendak mereka tanpa mengikut undang-undang dan perlembagaan adalah tidak profesional sungguh.

“Sudah enam tahun berlalu, keadaan masih kucar kacir tanpa penyelesaian aman dalam parti, saya tidak mahu krisis ini berpanjangan untuk 20 tahun akan datang, saya harap segalanya boleh kembali normal secepat mungkin. – MalaysiaGazette