Home Ekonomi KDNK 2017 diunjur 5.7-5.9%

KDNK 2017 diunjur 5.7-5.9%

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia diunjur berkembang lebih baik kepada sekitar 5.7 peratus hingga 5.9 peratus pada tahun ini.

Lantaran itu, AmBank Research menjangkakan kerajaan menyemak semua unjuran awal Keluaran Dalam Negara Kasar iaitu 4.0 hingga 5.0 peratus pada Bajet 2018 memandangkan ekonomi berkembang melepasi jangkaan pada suku pertama dan suku kedua tahun ini, masing-masing 5.6 peratus dan 5.8 peratus.

Prestasi itu menjadikan purata ekonomi negara pada separuh tahun ini kepada 5.7 peratus.

Firma penyelidikan itu menjangkakan kerajaan akan menaikkan unjuran KDNK antara 5.5 peratus hingga 6.0 peratus pada bajet nanti.

Ketua Ekonominya, Anthony Dass berkata, pertumbuhan memberangsangkan itu dipacu oleh pengukuhan eksport dan permintaan domestik.

Selain itu, pelaburan langsung asing juga melonjak kepada RM17 bilion pada suku pertama dan RM8.2 bilion pada suku kedua, disokong oleh sektor perkhidmatan, perlombongan dan pembuatan.

Kestabilan harga komoditi, peningkatan kutipan cukai dan pemulihan pertumbuhan global pada tahun ini dan diperkukuhkan dengan penyatuan fiskal yang berterusan, sasaran defisit bajet 3.0 peratus pada tahun ini dijangka dicapai.

Beliau mengunjurkan defisit fiskal untuk tahun 2018 akan meningkat sedikit kepada 2.9 peratus berikutan jangkaan hasil yang lebih tinggi daripada harga minyak mentah yang semakin kukuh dan kutipan cukai, selain perbelanjaan berhemat. – MalaysiaGazette