Atlet Olahraga Perak, Muhammad Azeem Mohd Fahmi

IPOH – Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi antara tiga atlet yang akan menerima pingat bersempena dengan Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, tahun ini.

Muhammad Azeem, 19, yang merupakan anak kelahiran Teluk Intan itu akan menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) atas kecemerlangannya memenangi pingat gangsa bagi acara 100 meter lelaki di Sukan Asia di Hangzhou, China bulan lalu.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata Sultan Nazrin telah berkenan mengurniakan pingat kepada atlet dari Perak yang berjaya menyumbangkan pingat buat negara pada temasya sukan tersebut.

Katanya, selain itu turut akan dianugerahkan PJK, adalah Shereen Samson Vallabouy, 25, yang menamatkan penantian 17 tahun Malaysia dalam memenangi pingat olahraga bagi Sukan Asia dengan menyumbang gangsa 400 meter perempuan.

“Atlet terjun, Muhd Shafiq Puteh yang memenangi pingat gangsa dalam acara terjun 3 meter papan anjal seirama, juga dikurniakan PJK,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-67 Sultan Nazrin di Laman Seri Ridzuan, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Dewan Negara, Datuk Seri Ayop Hashim.

Terdahulu katanya seramai 238 individu daripada pelbagai latar belakang disenarai sebagai Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat-pingat Negeri Perak bersempena dengan Hari Keputeraan Sultan Nazrin.

Beliau menjelaskan penganugerahan dikurniakan kepada mereka yang benar-benar layak, berjasa dan mengharumkan nama negeri, di samping memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri dikurniakan kepada kepada dua penerima dan Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima dikurniakan kepada dua penerima.

“Manakala, Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk melibatkan seorang penerima, serta Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada 13 penerima,” katanya lagi.

Tambah Mohd Zahidi, antara individu yang menerima DPMP adalah Exco Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed; Presiden Persatuan Hoki Perak, Mohd. Saiyuti Abd. Samat serta Pakar Kardiologi merangkap Mantan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye. -MalaysiaGazette