Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Ketua Setiausaha kementerian itu yang ditahan semalam.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berkata, beliau memberi jaminan kementeriannya akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

“Kita menyokong usaha SPRM dalam membanteras rasuah dan penyelewengan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas penahanan Datuk Mohd. Arif Abd. Rahman dan seorang lelaki di sekitar Subang Jaya, Selangor kira-kira jam 8 pagi semalam, kerana disyaki terlibat dalam kes rasuah.

SPRM turut merampas dan menyita wang tunai, jongkong emas, beg tangan serta barang hiasan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta.

Sementara itu, hari ini, Mohd. Arif, 59, bersama dua anak lelakinya ditahan reman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Putrajaya sehingga 11 Januari ini.

Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatatertib Jenayah dan Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette