Perdana Menteri Lubenan, Saad al-Hariri

BEIRUT – Lubnan membentuk kerajaan perpaduan yang baharu, sekaligus menamatkan krisis yang berlarutan selama sembilan bulan selepas Pilihan Raya pada Mei lalu.

“Kita mesti memulakan kerja keras untuk membentuk negara yang membangun dalam semua aspek dan sejahterakan rakyat,” kata Perdana Menterinya, Saad al-Hariri.

Hariri kini melangkah ke penggal ketiga sebagai pemimpin negara itu.

Kabinet yang diwujudkan Hariri dianggotai 30 orang Menteri termasuk empat wanita dan seorang Menteri Dalam Negeri.

Ini kali pertama portfolio Menteri Dalam Negeri Lubnan diwujudkan.

Bagaimanapun ujian getir menanti kepimpinan Hariri selepas ini.

Cabaran besar Kabinet baharu kerajaan pimpinan Hariri ialah memulihkan ekonomi negara itu.

Hariri dan Jemaah Menterinya mempunyai tanggungjawab besar untuk mengurangkan hutang negara itu yang berada pada tahap kritikal iaitu 150 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau dijangka memperolehi dana pemulihan dan pinjaman kewangan antarabangsa berjumlah AS$8 bilion (RM32 bilion).

Pertunjukan bunga api diadakan di ruang udara ibu negara, Beirut, pada Khamis sebagai tanda meraikan pembentukan kerajaan baharu Lubnan.

Walaupun sudah berusia 48 tahun, Hariri masih menonjol sebagai veteran politik di Lubnan.

Pada 2017, Hariri mencetuskan krisis politik yang membimbangkan di Beirut selepas mengumumkan perletakan jawatan secara mengejut dan terbang ke Arab Saudi atas alasan beliau bimbang wujud percubaan membunuh beliau.

Dua minggu kemudian, Hariri membatalkan surat perletakan jawatannya selepas bercakap dengan Presiden Michel Aoun di Lubnan.

Bapa Hariri terbunuh dalam satu serangan bom pada 2005. – MalaysiaGazette