Bajet 2018 dilihat mampu merancakkan sektor automotif, melalui pelbagai impak positif secara langsung dan tidak langsung kepada pelbagai pihak yang berkecimpung atau ingin berkecimpung di dalam sektor automotif, kata Institut Automotif Malaysia (MAI). - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meramalkan peningkatan dua peratus dalam pengeluaran kereta pada 2018.

Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata, pengeluaran kereta terpaksa dikurangkan tahun lepas berikutan berlakunya lebihan stok pada 2016.

Tahun lepas, pengeluaran kereta menyusut sebanyak lapan peratus kepada 499,639 unit berbanding 545,253 unit pada 2016.

Menurut Aishah, MAA masih mengekalkan unjuran jualan keseluruhan kereta pada tahun ini sebanyak 590,000 unit dengan jangkaan pertumbuhan sebanyak 2.3 peratus.

Jelasnya, Mac merupakan bulan kerja yang panjang dan juga merupakan bulan di mana syarikat-syarikat yang mempunyai tahun kewangan berakhir 31 Mac 2018 akan segera membuat penghantaran.

Jualan keseluruhan kenderaan menyusut sebanyak 10.92 peratus pada Februari 2018 berbanding 43,127 pada tempoh sama tahun lalu.

Menurut Aishah, penjualan yang lebih rendah itu berlaku kerana bulan kerja yang singkat berikutan cuti sambutan Tahun Baharu Cina.-MalaysiaGazette